Layari pembinaperak.net

Laman web PEMBINA Perak telah berpindah ke laman baru:

http://pembinaperak.net

PEMBINA Cawangan Perak bersama Masyarakat Kuala Kangsar

15 Februari, Kuala Kangsar – Sambutan Maulidur Rasul 1432H telah disambut dengan penuh mahabbah kasih sayang di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar semalam. Sambutan anjuran Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Cawangan Perak dan Jawatankuasa Masjid Ubudiyah tersebut adalah sambutan besar-besaran yang julung-julung kali diadakan. Program disusun dengan tujuan untuk menghayati ajaran Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian disamping mengeratkan ukhuwah islamiyah antara masyarakat setempat.

Dengan tema ‘Memantapkan Ukhuwah, Memperkasakan Ummah!’, sambutan telah dimulakan dengan qiamullail berjemaah seawal jam lima pagi hari Selasa. Para peserta qiamullail telah tiba pada malam sebelumnya lagi. Kebanyakan peserta yang tiba awal terdiri daripada ahli-ahli PEMBINA cawangan Perak dan ahli Ikatan Muslimin Malaysia yang juga merupakan penganjur bersama sambutan.


Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak

Seusai sarapan pagi, ratusan masyarakat Kuala Kangsar kelihatan membanjiri perkarangan masjid. Kelihatan pasangan ibu ayah bersemangat membawa anak-anak yang ceria dan tidak sabar untuk mengambil bahagian dalam pertandingan mewarna dan sukaneka kanak-kanak. Tidak ketinggalan juga para belia yang hadir berkumpulan untuk beraksi di dalam pertandingan futsal yang dianjurkan.

Aktiviti pertandingan futsal, mewarna dan sukaneka berjalan serentak sekitar pukul 9 pagi bertempat di sekitar perkarangan masjid. Suasana sungguh meriah sekali dengan keletah kanak-kanak yang asyik mewarna, bermain acara sukaneka dan beraktiviti bersama-sama keluarga. Para remaja dan belia lelaki pula begitu bersemangat bertanding dalam pertandingan futsal. Acara penyampaian hadiah menyusul selepas semua acara berakhir. PEMBINA Perak mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pemenang pertandingan.

PEMBINA cawangan PERAK dan Aman Palestin Berhad menyerikan lagi sambutan dengan membuka pameran berkenaan aktiviti NGO masing-masing di ruang legar masjid. Pihak penganjur juga menyediakan pekhidmatan pemeriksaan kesihatan kepada masyarakat setempat yang hadir. Majlis sesi pagi berhenti rehat sebaik sahaja berkumandangnya azan Zohor untuk memberi laluan kepada hadirin untuk menunaikan kefardhuan masing-masing. Kemudian, hadirin dihidangkan dengan lauk-pauk makanan tengah hari yang istimewa.

Pemeriksaan Kesihatan

Majlis disambung semula selepas solat Asar dengan program motivasi remaja yang bertajuk “Memotivasikan Diri” yang disampaikan oleh Ustaz Mejar Nazri Musman, mantan Pengarah Persatuan Kelab Remaja ISMA (KRIM). 100 orang pelajar daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan Kelsom dan Madrasah Idrisiah dijemput khas untuk menyertai program motivasi ini. Pada sebelah malam pula, forum yang memberi fokus kepada “Membina Generasi Harapan” dipengerusikan oleh Ustaz Zamri Hashim, Timbalan Mufti Perak yang juga merangkap Ketua Biro Dakwah ISMA Perak. Panel-panel jemputan pula terdiri daripada Ustaz Mejar Nazri Musman dan Ustaz Fauzi Asmuni, Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA). Forum banyak mengupas tentang isu-isu belia Melayu Islam yang semakin kepincangan agenda hidup sekaligus membincangkan solusi ke arah memartabatkan Islam kembali dalam jiwa belia khususnya dan masyarakat amnya. Forum berakhir pada pukul 9.30 malam.

Sambutan Maulidur Rasul 1432H anjuran PEMBINA Perak dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid Ubudiyah melabuhkan tirainya dengan aktiviti solat Isyak secara berjemaah. Hadirin serta masyarakat setempat kemudiannya dijemput menjamu selera dengan kenduri akikah. PEMBINA Perak berharap aktiviti kemasyarakatan sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan keazamaan tinggi agar risalah Islam dapat terus dihayati dan menjadi sebati dalam jiwa masyarakat.

Media PEMBINA Perak

Pelajar-pelajar membanjiri perkarangan masjid.

Kumpulan Nasyid NAZIM Perak

Boling Kelapa!

Futsal

 

Maulidur Rasul di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar

Tarikh: 14 & 15 Feb 2011

Tempat: Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar

Alhamdulillah, hari kelahiran baginda Rasulullah saw semakin hampir. InsyaAllah, walaupun hampir dengan hari sambutan Valentine, pihak PEMBINA berharap agar sambutan maulidur rasul tidak tercemar dengan budaya-budaya songsang yang dihadirkan oleh orang bukan Islam.

Maka, bagi meraikan sambutan Maulidur Rasul, pihak PEMBINA Perak dengan kerjasama Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar akan mengadakan program ala-ala karnival yang diadakan sehari suntuk. Pada hari tersebut, ianya akan dimuatkan dengan aktiviti-aktiviti menarik seperti sukaneka, mewarna, futsal, forum, kenduri dan qiyamullail.

Tentatif  seperti berikut:

14/02/11 (Isnin)

8.45pm – Solat isya’ berjemaah

9.30pm – Taklimat qiamulail (tidur di masjid ikhwah & akhawat)

15/02/11 (Selasa)

4.30am – Qiamulail

5.50am – Solat subuh, kuliah subuh (Ust Zamri)

7.30am – Sarapan

8.00am – Sukaneka, mewarna (Nazim), Futsal (Pembina), Pemeriksaan kesihatan (pjbt kesihatan)

11.30am – Kenduri aqiqah – lunch

3.00pm – Motivasi remaja (Krim)

5.00pm – Solat asar

7.30pm – Solat maghrib, Forum perdana ‘Membina Generasi Harapan’ (Ust Zamri, Ust Fauzi, Mejar Nazri)

Ini pula adalah poster-poster program.

Pihak PEMBINA Perak sangat-sangat menggalakkan agar semua pembaca dapat mengajak ahli keluarga dan juga sahabat taulan untuk menyertai program ini. Juga diperingatkan bahawa, tiada yuran pendaftaran dikenakan dan semuanya ditanggung oleh pihak masjid.

Sekian, Media PEMBINA Perak.

PEMBINA Perak hadiri KEMM1511

Melaka, 29 Januari – Bertempat di Universiti Teknikal Malaysia Melaka, ‘Konvensyen Memperingati 500 Tahun Kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka’ (KEMM1511) anjuran Ikatan Muslimin Malaysia dengan kerjasama PEMBINA telah dihadiri lebih 2,000 orang belia dan mahasiswa dari seluruh negara. Bilangan ini merangkumi mahasiswa dan mahasiswi hampir dari kebanyakan IPTA dan IPTS dari seluruh Malaysia termasuk dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Suasana Dewan, ihsan daripada MEDIA ISMA

Konvensyen kali ini yang telah membincangkan tiga kertas kerja dan satu sesi forum mengajak generasi muda terutamanya untuk kembali mengkaji sejarah silam bangsa Melayu yang agung ke arah membina tamadun Islam yang gemilang di masa hadapan berteraskan bangsa Melayu yang dihormati dan kuat.

Secara keseluruhannya, konvensyen yang berlangsung selama satu hari bermula seawal jam 8 pagi dan berakhir pada jam 6 petang ini telah berjaya menarik kira-kira 3,600 hadirin dan hadirat dari seluruh negara, dari pelbagai latarbelakang pendidikan dan lapisan usia.

Liputan daripada Pihak PEMBINA Perak pula, terdapat lebih daripada 100 ahli yang menghadiri. Peserta bertolak pergi tepat pukul 12.15 am 29 Januari dan selamat tiba di tapak konvensyen pada pukul 9.30 pagi. Memandangkan sudah sedikit lewat, peserta bergegas untuk mendapatkan tempat duduk di dalam dewan. Selepas mendengar ketiga-tiga pembentangan dan ditambah dengan forum, para belia mendapat visi baru dalam memperjuangkan isu di dalam masyarakat melayu. InsyaAllah, dengan berbekalkan kefahaman kami akan bersungguh-sungguh di dalam memperbaiki situasi remaja yang semakin hilang jati diri.

PEMBINA mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak penganjur yang telah berjaya menganjurkan acara yang penuh gilang-gemilang ini, juga kepada semua pihak yang bersama-sama menjayakannya. PEMBINA sangat komited untuk bersama-sama menggembeleng tenaga membangunkan jatidiri belia Melayu Islam agar mampu membina masa depan agama, bangsa dan negara yang terbilang.

Generasi Solusi Cabang

Artikel Menangani Masalah Pelajar Stres terpampang di Utusan Online pada 19 Januari 2011. Tajuk berita ini sangat menarik minat saya untuk membuat kupasan tentang pendekatan menangani stres pada coretan kali ini. Satu tolakan dalaman yang kuat mengaktifkan jari saya terus menari rancak di atas papan kekunci untuk saya kongsikan pengalaman peribadi berdepan dengan stres semasa bergelar seorang pelajar. Saya maksudkan stres sebenar bukannya sekadar rungutan stres yang selalu kita ungkapkan sekiranya kita tensi mengulangkaji pelajaran ataupun sekiranya tarikh peperiksaan sudah hampir di selekoh kalendar masa. Continue reading

Perkhemahan SEED: The Resolution (14-16 Jan 2011)

SEED Siri Ke-4

Ipoh, 12 November 2010 – Siri Explorasi Deen (SEED) yang keempat telah menarik seramai hampir 50 orang peserta yang kebanyakannya di kalangan para pelajar Royal College of Medicine Perak (RCMP). Dengan penyertaan yang di luar jangkaan, SEED pada kali ini telah menjemput Encik Rosidi bin Shahari, motivator untuk Motivasi Alihan Pelajar dan juga Pengerusi PEMBINA sendiri bagi membincangkan tajuk “Antara Dua Jalan”. Tajuk ini dibincangkan bersempena dengan Hari Raya Aildiladha yang akan menjelang tidak lama lagi. Fokus yang dibawa berkisar tentang “Korban: Antara berkorban dan Terkorban”.

PesertaDimulakan dengan sejarah pengorbanan yang dilakukan oleh penganut agama Hindu, Kristian dan orang Yahudi, Encik Rosidi dengan semangatnya menyatakan perbezaan korban yang dilakukan oleh mereka berbanding dengan penganut agama Islam.  Perbezaan yang terletak pada sebab pengorbanan dilakukan mengambarkan pengorbanan boleh dilakukan dengan sebab yang berbagai namun nilainya terletak pada sejauh mana pengorbanan itu bermanfaat pada kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Continue reading