PEMBINA Cawangan Perak bersama Masyarakat Kuala Kangsar

15 Februari, Kuala Kangsar – Sambutan Maulidur Rasul 1432H telah disambut dengan penuh mahabbah kasih sayang di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar semalam. Sambutan anjuran Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Cawangan Perak dan Jawatankuasa Masjid Ubudiyah tersebut adalah sambutan besar-besaran yang julung-julung kali diadakan. Program disusun dengan tujuan untuk menghayati ajaran Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian disamping mengeratkan ukhuwah islamiyah antara masyarakat setempat.

Dengan tema ‘Memantapkan Ukhuwah, Memperkasakan Ummah!’, sambutan telah dimulakan dengan qiamullail berjemaah seawal jam lima pagi hari Selasa. Para peserta qiamullail telah tiba pada malam sebelumnya lagi. Kebanyakan peserta yang tiba awal terdiri daripada ahli-ahli PEMBINA cawangan Perak dan ahli Ikatan Muslimin Malaysia yang juga merupakan penganjur bersama sambutan.


Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak

Seusai sarapan pagi, ratusan masyarakat Kuala Kangsar kelihatan membanjiri perkarangan masjid. Kelihatan pasangan ibu ayah bersemangat membawa anak-anak yang ceria dan tidak sabar untuk mengambil bahagian dalam pertandingan mewarna dan sukaneka kanak-kanak. Tidak ketinggalan juga para belia yang hadir berkumpulan untuk beraksi di dalam pertandingan futsal yang dianjurkan.

Aktiviti pertandingan futsal, mewarna dan sukaneka berjalan serentak sekitar pukul 9 pagi bertempat di sekitar perkarangan masjid. Suasana sungguh meriah sekali dengan keletah kanak-kanak yang asyik mewarna, bermain acara sukaneka dan beraktiviti bersama-sama keluarga. Para remaja dan belia lelaki pula begitu bersemangat bertanding dalam pertandingan futsal. Acara penyampaian hadiah menyusul selepas semua acara berakhir. PEMBINA Perak mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pemenang pertandingan.

PEMBINA cawangan PERAK dan Aman Palestin Berhad menyerikan lagi sambutan dengan membuka pameran berkenaan aktiviti NGO masing-masing di ruang legar masjid. Pihak penganjur juga menyediakan pekhidmatan pemeriksaan kesihatan kepada masyarakat setempat yang hadir. Majlis sesi pagi berhenti rehat sebaik sahaja berkumandangnya azan Zohor untuk memberi laluan kepada hadirin untuk menunaikan kefardhuan masing-masing. Kemudian, hadirin dihidangkan dengan lauk-pauk makanan tengah hari yang istimewa.

Pemeriksaan Kesihatan

Majlis disambung semula selepas solat Asar dengan program motivasi remaja yang bertajuk “Memotivasikan Diri” yang disampaikan oleh Ustaz Mejar Nazri Musman, mantan Pengarah Persatuan Kelab Remaja ISMA (KRIM). 100 orang pelajar daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Perempuan Kelsom dan Madrasah Idrisiah dijemput khas untuk menyertai program motivasi ini. Pada sebelah malam pula, forum yang memberi fokus kepada “Membina Generasi Harapan” dipengerusikan oleh Ustaz Zamri Hashim, Timbalan Mufti Perak yang juga merangkap Ketua Biro Dakwah ISMA Perak. Panel-panel jemputan pula terdiri daripada Ustaz Mejar Nazri Musman dan Ustaz Fauzi Asmuni, Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA). Forum banyak mengupas tentang isu-isu belia Melayu Islam yang semakin kepincangan agenda hidup sekaligus membincangkan solusi ke arah memartabatkan Islam kembali dalam jiwa belia khususnya dan masyarakat amnya. Forum berakhir pada pukul 9.30 malam.

Sambutan Maulidur Rasul 1432H anjuran PEMBINA Perak dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid Ubudiyah melabuhkan tirainya dengan aktiviti solat Isyak secara berjemaah. Hadirin serta masyarakat setempat kemudiannya dijemput menjamu selera dengan kenduri akikah. PEMBINA Perak berharap aktiviti kemasyarakatan sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan keazamaan tinggi agar risalah Islam dapat terus dihayati dan menjadi sebati dalam jiwa masyarakat.

Media PEMBINA Perak

Pelajar-pelajar membanjiri perkarangan masjid.

Kumpulan Nasyid NAZIM Perak

Boling Kelapa!

Futsal

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: