Generasi Solusi Cabang

Artikel Menangani Masalah Pelajar Stres terpampang di Utusan Online pada 19 Januari 2011. Tajuk berita ini sangat menarik minat saya untuk membuat kupasan tentang pendekatan menangani stres pada coretan kali ini. Satu tolakan dalaman yang kuat mengaktifkan jari saya terus menari rancak di atas papan kekunci untuk saya kongsikan pengalaman peribadi berdepan dengan stres semasa bergelar seorang pelajar. Saya maksudkan stres sebenar bukannya sekadar rungutan stres yang selalu kita ungkapkan sekiranya kita tensi mengulangkaji pelajaran ataupun sekiranya tarikh peperiksaan sudah hampir di selekoh kalendar masa.

Kisahnya bermula kira-kira sembilan tahun yang lalu. Tahun 2002, waktu itu saya berada di Tingkatan 512 di sebuah sekolah berasrama penuh yang terkenal, MRSM Taiping. Semester pertama, saya diserang rasa cemas kerana tidak sempat untuk menghabiskan ulangkaji untuk peperiksaan akhir semester. Telah saya, itu hanya rasa kerisauan yang biasa. Saya hanya abaikan dan hadapi peperiksaan seperti biasa. Selepas habis peperiksaan, saya bercuti selama lebih kurang  dua minggu. Saya merangka untuk memulakan ulangkaji komprehensif SPM apabila kembali ke MRSM untuk semester kedua.

Masuk semester kedua, bermulalah episod saya menyusun jadual belajar untuk semua subjek. Jadual belajar saya berjalan dengan lancar selama dua minggu sehinggalah pada pertengahan bulan Jun 2002 guru-guru mula memberikan tugasan-tugasan yang sangat banyak; antara yang saya masih ingat latih tubi Matematik Tambahan, BioGrafik, ChemExp, folio Sejarah, Fizik dan bermacam-macam lagi. Dari sehari ke sehari jadual belajar saya makin kucar kacir kerana tidak sempat untuk memperuntukkan masa mengulangkaji pelajaran dek sibuk menyiapkan tugasan-tugasan yang diberikan.

Saya rasa stres dan perasaan cemas itu wujud semula malah lebih serius. Jantung berdegup dengan kelajuan yang sangat tinggi. Dua minggu berlalu, keadaan saya menjadi semakin teruk. Saya kerap menangis kerana risaukan jadual belajar yang terganggu dek tugasan yang melampau, hanya dapat tidur sekitar 4 pagi dan bangun semula pukul 6 pagi, sakit kepala sebab tidak cukup tidur, tidak dapat tumpukan perhatian dalam kelas, menangis lagi kerana tidak faham apa yang cikgu ajar sebab saya sakit kepala. Paling teruk, perasaan cemas itu makin kuat. Saya jadi cepat letih dan tidak mampu belajar ataupun menyiapkan segala tugasan dengan sebaik mungkin.

Ibu datang menziarahi saya selepas dua minggu berlalu. Ibu kata muka saya nampak keruh, langsung tak ceria. Ibu tahu sesuatu kurang enak sedang berlaku pada diri saya. Apa tidaknya, hampir setiap hari saya menelefon ibu dan menangis. Tidak cukup Talian Siswa di pondok pengawal, saya guna telefon awam di dewan makan. Kadang-kadang saya menelefon ibu pada waktu sekolah menggunakan telefon awam yang berada di luar perpustakaan. Saya tahu tindakan saya salah tapi saya tidak dapat mengawal perasaan cemas yang sangat menyesakkan.

Ibu berjumpa dengan kaunselor sekolah, Encik Zunaidi dan berbincang tentang masalah saya. Ibu juga meminta kebenaran untuk membawa saya pulang selama beberapa hari. Penolong Pengetua HEP, Encik Haja Mydin tidak membenarkan tetapi ibu bertegas ingin membawa saya pulang. Ibu kata saya perlu dapat perhatian pakar. Mungkin oleh sebab ibu bekerja sebagai Penolong Pembantu Kebajikan Masyarakat di Klinik Psikiatrik, Hospital Pulau Pinang, ibu dapat melihat tanda-tanda kemurungan yang saya alami.

Saya dirujuk kepada Pakar Psikiatrik Kanak-Kanak dan Remaja, Hospital Pulau Pinang, Dr. Lau. Beliau mengesahkan saya mengalami masalah kemurungan, lebih spesifik “Anxiety Disorder.”  Katanya, saya terlalu risaukan tentang SPM. Katanya lagi, perasaan cemas itu akan beransur-ansur hilang selepas tamatnya SPM. Bagi membantu saya menghadapi perasaan cemas sementara menantikan SPM selesai, saya dibekalkan dengan beberapa antidepresent seperti Apralazolam dan Prozac secara berperingkat.

Kembalinya saya ke MRSM, kehidupan saya bertukar menjadi seorang pesakit psikiatrik. Saya perlu makan ubat ikut jadual dan makan dengan teratur. Perlu rajin beriadhah dan tidur 8 jam sehari. Setiap dua minggu, ibu terpaksa datang menjenguk saya. Saya akan menangis sekiranya ibu lewat tiba walaupun hanya 5 minit lewat. Ibu juga terpaksa datang menemani saya mengambil peperiksaan percubaan SPM. Ibu tunggu di luar dewan sementara peperiksaan berlangsung. Sebaik sahaja habis menjawab soalan, saya akan keluar dewan dan menangis pada bahu ibu. Keadaan saya sangat teruk. Setiap sebulan pula saya akan pulang ke Pulau Pinang untuk rawatan susulan. Kadang-kadang saya terpaksa bawa bantal kecil ke kelas kerana belakang saya sangat sakit. Kata doktor mungkin peringkat stres saya sangat tinggi sehingga ia berubah bentuk menjadi stres dalam bentuk fizikal, muscle stress. Saya juga diminta membuat beberapa sesi latihan phisiotherapy untuk menghilangkan rasa sakit belakang dua kali sehari berpandukan pada pita rakaman yang dibekalkan.

Pada masa yang sama, saya meneruskan tugas sebagai seorang pelajar. Guru-guru yang mengajar saya sedia maklum dengan masalah kemurungan yang saya hadapi. Saya mendapat kelepasan untuk menghantar tugasan lewat sedikit berbanding rakan-rakan sekelas yang lain. Kata-kata guru Matematik Tambahan, Puan Marsuria meringankan beban, “Noris (panggilan Cikgu Marsuria untuk saya) tak perlu belajar sendiri, cuma buat saja semua tugasan yang cikgu-cikgu bagi. Sudah cukup untuk persediaan SPM.” Bermula daripada itu, saya hanya melakukan tugasan sekadar yang mampu dan tidak belajar sendiri sehinggalah menjelangnya peperiksaan SPM.

Antidepresent tidak banyak membantu. Hanya menyebabkan daya ingatan saya semakin lemah. Perasaan cemas yang melampau-lampau masih di situ. Cuma beban rasa kurang sedikit kerana agenda jadual belajar sudah tiada dalam fikiran saya. Satu hari, penasihat Homeroom Nilam D, Homeroom saya, Cikgu Mazlan Bostami memanggil saya untuk berjumpa dengannya. Dia bertanya kenapa saya tidak berkongsi masalah dengannya. Katanya, dia hanya tahu masalah saya melalui ibu saya. Saya hanya diam membisu. Dalam pada itu, dialah orang pertama yang menasihatkan saya untuk memperbanyakkan bacaan Al-Quran dan telah menghadiahkan senaskah Manzil kepada saya untuk diamalkan.

Selepas perjumpaan dengan penasihat Homeroom, saya banyak meluangkan masa membaca Al-Quran terutamanya ketika waktu maghrib sebelum solat berjemaah di surau. Ternyata usaha ini membantu. Perasaan cemas itu hilang sama sekali ketika lidah saya mengalunkan kalimah suci. Perasaan itu akan datang kembali setelah beberapa ketika saya berhenti membaca Al-Quran. Seorang bapa saudara saya berpesan untuk mengamalkan doa melindung diri daripada kesedihan yang terkandung dalam Mathurat. Itupun saya amalkan sambil beriadhah. Saya akan ber’jogging’ sambil membaca Mathurat. Manzil, Mathurat dan Al-Quran menjadi peneman setia sepanjang tempoh saya berada di MRSM Taiping sementara menunggu menjelangnya hari SPM.

Oktober 2002, keadaan saya semakin stabil. Saya sudah dapat tidur secukupnya, perasaan cemas itu masih ada tetapi semakin berkurang, saya dapat menyiapkan tugasan dengan sebaik mungkin dan saya telah layak untuk ditemuduga untuk program Luar Negara Tajaan MARA berbekalkan keputusan percubaan SPM. SPM dapat saya hadapi dengan sebaiknya tanpa kerisauan yang melampau. Sebulan kemudian, Januari 2003, saya memulakan program persediaan AUSMAT untuk melanjutkan pelajaran ke Australia di INTEC. Saya masih meneruskan pengambilan antidepresent sehinggalah Jun 2003, Dr. Yushada mengesahkan saya bebas daripada simptom-simptom kemurungan dan kes saya ditutup sebagai seorang pesakit psikiatri.

Pembaca sekalian, cuba fikirkan pendekatan apa yang diambil untuk menangani stres dikalangan remaja dalam artikel berita yang dilampirkan? Modul Kesihatan Mental dicadangkan untuk dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah. Pengalaman saya pula, saya diberi ubat untuk mengurangkan depresi. Persoalannya, apakah masalah pokok di sini? Stres berasal daripada tiada ketenangan bukan?

Oleh kerana kita telah diagendakan oleh kelompok yang lain, kita telah jauh daripada mengetahui kebenaran sebenar. Saya membayangkan sekiranya saya hidup pada zaman kegemilangan pemerintahan Abasiyyah dan mengalami stres, tentunya tabib-tabib Islam akan mengesyorkan saya untuk memperbanyakkan bacaan suci Al-Quran bagi mencari ketenangan jiwa.  Kerana apa? Kerana mereka faqih Al-Quran. Allah SWT telah berfirman dalam Surah Ar-Rad, ayat 28 “ Ingatlah hanya dengan mengingati Allah SWT, hati menjadi tenang.” Hanya sekiranya kita ingat kepada Allah SWT, hati akan menjadi tenang. Islam sangat cantik, terlampau halus seni dan cantiknya. Subhanallah…Subhanallah..

Generasi kita yang bertahun-tahun jauh daripada  Al-Quran hanya mampu memberikan solusi cabang terhadap permasalahan-permasalahan harian malah solusi cabang juga diberikan terhadap permasalahan dunia sekalipun. Kita gagal untuk melihat masalah pokok sebenar. Kita gagal untuk melihat bahawa kita tidak mengambil Islam sebagai solusi kehidupan. Islam tidak lagi menjadi deen. Paling menyedihkan, orang Islam sendiri menolak untuk beramal dengan Islam. Inilah pemikiran  generasi kita yang telah berjaya diagendakan oleh kelompok yang lain.

Kelompok yang mengagendakan kita bersorak bertepuk tangan melihat kedangkalan dan kebodohan kita dipermain-mainkan saban waktu. Mereka puas dan gembira kerana kita tidak lagi gah seperti nenek moyang kita pada 1260 tahun yang lampau. Inilah realiti pahit yang terpaksa kita telan buat pedoman. Sekarang, kita telah tahu kita sedang diagendakan, kita tahu kita sedang diperbodoh-bodohkan, bilakah pula kita akan sedar kita sedang diagenda dan diperbodoh-bodohkan?

Wahai Pemuda! Tibalah masanya untuk kita kembali bangun mencorak semula sejarah yang bakal berlangsung. Pilihan yang ada cuma ada dua, sama ada kita melakar sejarah ataupun kita menjadi sejarah. Tentulah yang lebih mulia dan afdhol adalah untuk kita melakar sejarah. Kita perlu bermula daripada bawah dengan cara pentarbiyah diri menjadi seorang incdividu muslim. Ya! kita mempunyai cita-cita tinggi untuk mengepalai dunia semula, membina tamadun kegemilangan yang sangat hebat tetapi perjalanan ini sangat panjang.

Tiada gunanya mengumpul angka-angka kosong kerana kosong itu hanya ada lohong. Kata-kata seorang ulama’ umpama mutiara, pemikiran mereka pula lebih tajam daripada mata pedang. Syaikh Syakib Arsalan mampu melihat masalah pokok umat Islam setelah kejatuhan Islam pada tahun 1924. Pendek sahaja soalannya, “Adakah kalian ingin mengumpulkan angka-angka kosong?” Soalan ini diajukan kepada tokoh-tokoh Islam yang terkejar-kejar ingin tegakkan khalifah Islamiyah yang lain sebaik sahaja tumbangkan Khalifah Turki Uthamaniyah pada tahun 1924.

Apa yang penting, sebagai langkah pertama kita mesti kembali kepada Islam sebagai seorang fard muslim iaitu individu muslim seterusnya mendaki anak-anak tangga untuk menuju kejayaan. Perlu ada peningkatan kualiti seorang Muslim dalam kehidupan kita, barulah matlamat untuk menjadi pemerintah dunia dapat direalisaikan. Masih belum terlambat untuk menganjakkan paradigma kita untuk kembali berkiblatkan Islam. Tidak ada gunanya pandang ke Barat ataupun ke Timur. Selagi kita tidak pandang ke arah Islam, selagi itu generasi kita akan terus mundur dan kian pudar.

Allahu ‘alam.

Norinsafrina Mustaffa Kamal

Pembina Perak

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: