Keutamaan 10 Hari Pertama Zulhijjah

Zulhijjah bulan terakhir kalendar Hijrah

Zulhijjah merupakan bulan yang terakhir dalam kalendar Hijrah. Ia termasuk antara bulan-bulan haram yang dimuliakan Allah SWT. Justeru sebagaimana bulan-bulan haram lain, bulan Zulhijjah ini seharusnya diisi dengan amalan-amalan soleh yang selari dengan sunnah Rasulullah SAW. Pada bulan tersebut terdapat hari-hari yang lebih diutamakan berbanding hari-hari lain pada bulan itu.

Keutamaan 10 hari pertama

Sepuluh hari pertama pada bulan ini merupakan hari yang diberkati Allah SWT dan bagi mereka yang mengerjakan amal-amal soleh pada hari ini ia akan mendapat keutamaan dan ganjaran lebih berbanding dengan hari-hari lain pada sepanjang tahun. Daripada Ibn ‘Abbas r.a, beliau berkata Rasulullah SAW. bersabda: Tiada hari-hari yang amalan soleh dalamnya lebih dicintai Allah daripada hari-hari (ayyam) ini (iaitu 10 hari pertama Zulhijjah). Mereka (para sahabat) bertanya: “Ya Rasulullah, termasuk jihad di jalan Allah?” Baginda menjawab: “Ya, tidak juga jihad di jalan Allah kecuali orang yang mengorbankan jiwa dan hartanya dan dia tidak kembali setelah itu (mati syahid).” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 969

Jelas menerusi hadis ini amalan pada 10 hari pertama Zulhijjah begitu besar. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar: “Jika seseorang melakukan hal seperti itu (iaitu berjihad sehingga mengorbankan diri dan harta), maka dia lebih baik atau sedarjat dengan mereka yang melakukan ibadat pada 10 hari pertama pada Zulhijjah.” – Ibn Hajar al-‘Asqolani, Fathul Baari, jilid 5, ms. 307, ketika mensyarah hadis no: 969.

Selanjutnya al-Hafiz Ibn Hajar memperjelaskan sebab keutamaan 10 hari pertama Zulhijjah ialah kerana pada hari-hari tersebut terkumpul ibadat-ibadat yang induk seperti solat, puasa, sedekah dan haji yang mana hal-hal itu kesemuanya tidak terdapat (secara serentak) pada bulan-bulan lain.

Justeru hendaklah setiap umat Islam memperbanyakkan solat-solat sunat, terutama solat tahajud, berzikir, berdoa, membaca al-Quran, melaksanakan ibadat korban dan mengerjakan ibadat haji bagi yang mampu. Hendaklah berusaha untuk berpuasa pada sembilan hari pertama bulan tersebut. Ummul Mukminun Hafshah berkata: Adalah Nabi SAW berpuasa pada hari puasa Asyura dan sembilan hari pertama pada Zulhijjah dan tiga hari dalam setiap bulan. – Hadis riwayat Imam al-Nasa’i di dalam Sunannya, no: 2332

Hari Arafah

Hari Arafah atau hari yang ke-9 dalam Zulhijjah merupakan hari di mana para jemaah haji berwuquf di padang Arafah. Hari Arafah ini merupakan hari paling ramai umat manusia beriman diampunkan dosa-dosanya yang lalu dan diselamatkan dari seksa api neraka oleh Allah SWT serta diperkenankan permohonan hamba-hamba-Nya. Rasulullah SAW bersabda: Tiada suatu hari yang di dalamnya Allah menyelamatkan hamba-Nya dari neraka yang lebih ramai daripada hari Arafah, iaitu tatkala Allah mendekat dan berbangga di hadapan para malaikat-Nya seraya berfirman: Apa yang mereka inginkan?” – Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Sahihnya, no: 2402

Justeru bagi mereka yang tidak mengerjakan ibadat haji disunatkan untuk berpuasa dan fadilatnya adalah dosa-dosa tahun lepas serta yang akan datang akan diampunkan. Sabda Rasulullah SAW.: Puasa tiga hari dari setiap bulan sejak dari Ramadan ke Ramadan berikutnya dianggap berpuasa setahun penuh. Sedangkan puasa hari Arafah pahalanya menurut Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya. Adapun puasa hari Asyura, pahalanya menurut Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya. – Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Sahihnya, no: 1162.

Majoriti (jumhur) ulama berpendapat tidak dianjurkan bagi jemaah haji yang sedang berwuquf untuk berpuasa pada hari Arafah. Pandangan ini dikuatkan dengan sebuah riwayat daripada Kuraib daripada Maimunah r.a yang menceritakan: Bahawasanya orang ramai merasa ragu-ragu tentang puasa Rasulullah SAW pada hari Arafah. Maka aku (yakni Maimunah) membawakan air susu kepadanya. Pada saat itu Baginda sedang wuquf di tempat wuquf. Baginda meminumnya dan manusia melihatnya. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 1989

Motif Rasulullah SAW menganjurkan para sahabat untuk tidak berpuasa ketika wuquf di Arafah adalah bertujuan agar para sahabat yang sedang mengerjakan ibadah haji itu memiliki tubuh badan yang segar dan kuat supaya mereka dapat melipat gandakan amal ibadat pada hari itu yang terdapat banyak fadilatnya. At-Thobari r.h berkata: “Rasulullah SAW tidak berpuasa di Arafah dengan maksud memberi petunjuk bahawa yang terbaik dilakukan oleh mereka yang mengerjakan haji di Makkah ialah tidak berpuasa supaya tidak lemah untuk berdoa dan berzikir pada hari Arafah.” – Rujuk Fathul Baari, jilid 11, ms. 437, syarah hadis no: 1989.

Hari Raya Aidiladha

Pada tarikh 10 Zulhijjah umat Islam di seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidiladha yang merupakan hari kebesaran bagi umat Nabi Muhammad SAW Anas bin Malik r.a berkata: Nabi SAW pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lalu Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu Hari Raya Aidiladha dan Aidilfitri.” – Hadis riwayat al-Nasa’i, di dalam Sunan al-Nasa’i, hadis no: 959.

Walaupun di Malaysia sambutan Hari Raya Aidilfitri jauh lebih meriah berbanding Aidiladha, namun hakikatnya di sisi Allah SWT Aidiladha adalah lebih utama berbanding Aidilfitri. Sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya hari yang paling agung di sisi Allah SWT ialah Hari Raya Aidiladha, setelah itu ada hari al-Qurr (iaitu hari kedua Aidiladha yakni pada 11 Zulhijjah). – Hadis riwayat Imam Abu Dawud di dalam Sunannya, no: 1502

Hari-Hari Tasyriq

Hari Tasyriq merupakan hari-hari yang jatuh pada tarikh 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Ia di namakan Tasyriq kerana pada hari tersebut daging korban dibahagikan. Hari-hari Tasyriq ini merupakan hari yang dimuliakan oleh Allah SWT dan memiliki keutamaan. Firmannya: Dan berzikirlah (dengan menyebut) Allah dalam beberapa hari yang terbilang. – al-Baqarah (2) :203

Dalam Tafseer Ibn Kathir telah dibawa sebuah riwayat Daripada Ibn ‘Abbas r.a yang berkata: Beberapa hari yang terbilang (dalam hadis di atas) adalah hari-hari Tasyriq. Dalam kitab tersebut Ibn Kathir r.h telah membawa sebuah riwayat daripada Nubayshah Al-Hudzali, beliau berkata Rasulullah SAW bersabda: Hari Tasyriq ialah hari untuk makan, minum dan berzikir. – Hadis riwayat Imam Ahmad di dalam Musnadnya, no: 19797

Menerusi hadis ini dapat kita fahami dua perkara tentang Hari Tasyriq, iaitu:

Pertama: Ia termasuk hari perayaan Aidiladha yang mana ia adalah hari untuk makan dan minum serta hari untuk bergembira. Oleh itu digalakkan untuk berkumpul bersama keluarga serta sahabat handai dengan menyediakan jamuan makan asalkan segala adab-adab yang dituntut oleh syarak dijaga serta tiada pembaziran. Justeru pada hari Tasyriq termasuk dalam hari-hari yang diharamkan untuk berpuasa. Ketika Abdullah bin Amru r.a bertemu dengan dengan ayahnya (‘Amru bin al-‘Ash r.a), ‘Amru bin al-’Ash sedang makan. Ayahnya menjemput Abdullah bin Amru untuk makan bersama tetapi beliau menolak dengan alasan sedang berpuasa. Lalu Amru bin al-Ash berkata: Ini adalah hari-hari (iaitu hari Tasyrik) yang dilarang oleh Rasulullah SAW untuk berpuasa dan menyuruh kita untuk menjadikannya (hari-hari) suci. – Diriwayatkan oleh Imam Imam Malik di dalam al-Muwatha’, hadis no: 137

Kedua: Ia merupakan hari untuk memperbanyakkan zikir kepada Allah terutamanya takbir dalam rangka memperbesarkan serta mengagungkan Allah SWT. Dalam Sahih al-Bukhari telah diriwayatkan: Ketika di Mina (pada hari-hari Tasyriq), Umar r.a mengumandangkan takbir di dalam khemahnya sehingga orang ramai yang berada di dalam masjid mendengarnya, maka mereka dan orang ramai yang sedang berada di pasar turut ikut mengumandangkan takbir sehingga kota Mina bergemuruh dengan takbir. Ibn Umar mengumandangkan takbir di Mina pada hari-hari itu (iaitu Tasyriq) setiap kali selesai melaksanakan solat, di tempat tidurnya, di khemah, di dalam masjid dan ketika dia sedang berjalan pada hari-hari itu. – Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di bab Takbir Pada Hari-Hari Mina Dan Ketika Berangkat Menuju Arafah dalam Sahihnya

Allah SWT dengan sifat-Nya yang Maha Pemurah (al-Rahmah) lagi Maha Penyayang (al-Rahman) telah menetapkan sesetengah bulan itu memiliki keutamaan yang lebih berbanding bulan-bulan lain agar Dia dapat memberi ganjaran yang lebih kepada hamba-hamba-Nya pada kadar-kadar masa yang tertentu itu. Di antara bulan yang dianggap istimewa itu ialah Zulhijjah yang merupakan salah satu dari empat bulan-bulan haram penuh berkat.

Oleh – Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: