Belia Buta Sejarah

Setiap kali topik sembang santai berkisar tentang subjek Sejarah semasa di bangku sekolah, ramai akan memberi respon negatif. Antara respon-respon yang diberikan adalah seperti berikut:

“Subjek yang paling mengantuk dan membosankan.”

“Kalau nak tidur, bacalah buku teks Sejarah. Tak sampai 5 minit, mesti terlelap.”

“Mata atomatik rasa berat semasa kelas Sejarah.”

“Banyak sangat fakta-fakta yang perlu dihafal. Bosanlah.”

Adakah kita sedar kita adalah sebahagian daripada mereka? Mungkin akan ada seorang dua yang sangat tertarik dengan fakta-fakta sejarah yang disogokkan ke dalam minda muda tetapi rata-rata pelajar kita tidak berminat dengan subjek Sejarah yang dipelajari di sekolah. Akhbar Utusan Malaysia pada 28 Oktober yang lalu telah mengeluarkan satu rencana hasil daripada soal selidik tentang sejauh mana orang muda celik sejarah. Keputusannya amat mengecewakan. Bukan setakat rabun malah buta langsung tentang sejarah.

Kelompok yang buta sejarah adalah daripada kalangan berumur bawah 30 tahun. Siapakah mereka? Merekalah belia kita. Sangat menyedihkan. Apa yang dapat kita harapkan pada belia-belia ini menjelang umur mereka separuh abad nanti? Dapatkah mereka menjadi pemimpin tersohor negara? Adakah negara kita berjaya melalu satu transformasi mega yang amat didambakan? Sekiranya jawapan kita berdasarkan pada keputusan soal selidik ini, pastinya semua hanya mampu menghela nafas. Jawabnya, “Tak dapek la den nak nolong.” Apabila diteliti semula, ada satu sebab yang membawa kepada butanya belia-belia kita terhadap sejarah.

Subjek sejarah yang diajarkan di sekolah-sekolah gagal disadurkan dengan ruh. Sejarah tidak hidup dalam jiwa belia. Mengapa tidak hidup? Mudah jawapannya, kerana tiada ruh. Manusia akan mati jika tiada ruh. Sejarah juga begitu. Sekiranya tiada ruh yang disematkan bersama-sama fakta-fakta yang disusun kemas dalam buku teks itu, maka Sejarah akan mati dalam jiwa anak-anak muda kita.

Sejarah ibarat cerita, bahkan maksud Sejarah itu sendiri adalah cerita. Sekiranya anda masih ingat lagi, Sejarah Tingkatan 4 mempunyai topik yang memberi definisi sejarah. History yang berasal daripada his story yang memberi maksud “Dia bercerita”. Malangnya, subjek Sejarah tidak disampaikan dalam bentuk cerita tetapi disusun dalam beberapa bab yang terpecah-pecah. Sejarah Peradaban Dunia dan Sejarah Malaysia diasingkan. Lebih malang, tiada jambatan yang menghubungkan antara dua tajuk besar itu. Seolah-olah tertegaknya sebuah Negara Malaysia tidak dipengaruhi oleh sejarah peradaban dunia.

Berapa ramai belia kita yang tahu bagaimana Tanah Melayu boleh dijajah British? Pernahkah mereka tahu Tanah Melayu berada di bawah Khilafah Uthmaniyah semasa Portugis menyerang Melaka? Tahukah mereka Khilafah Uthmaniyah diserang dari segala arah sehingga menyebabkan tidak cukup tenaga tentera untuk dihantar mempertahankan Tanah Melayu? Tahukah mereka dasar pecah dan perintah bermula selepas Pakatan Berikat memenangi Perang Dunia Pertama? Khilafah Uthmaniyah dijatuhkan dan Empayar Islam dicarik-carik sesuka hati sesama penjajah-penjajah yang keji.

Ingatlah sabda Nabi Muhammad SAW,                                                                                      “Satu hari nanti kamu akan dikerumuni musuh, sebagaimana semut menggerumuni makanan.”

Sahabat-sahabat bertanya:

“Apakah kami ketika itu sedikit ya Rasulullah?”

 

Rasulullah SAW menjawab:

“Tidak, bahkan kamu ramai. Tetapi hanya seperti buih di lautan”

 

Sedarlah, peristiwa hitam itu telah terjadi dalam kalendar dunia dan masih berlaku sehingga sekarang namun dibiarkan berlalu begitu sahaja seolah-olah apa yang lahir daripada mulut Rasul mulia itu tidak bernilai. Kata pepatah Melayu, “Nasi sudah menjadi bubur”. Namun, tak bermakna hanya tinggal harapan kosong. Ingatlah,skala masa yang kita lalui ini hanya gerhana yang bersifat sementara, matahari pasti akan bersinar kembali pada suatu masa yang telah ditetapkan sejak di Lauh Mahfuz.

 

Berbalik pada topik yang dibincangkan, belia tidak boleh disalahkan kerana sejarah yang disogokkan kepada mereka tidak lengkap dari segi kronologi dan fakta-faktanya. Entah mengapa kronologi serta fakta-fakta penting sejarah seolah-olah lenyap dalam sukatan pembelajaran Sejarah. Sekiranya anak-anak kecil dibentangkan dengan Sejarah yang mempunya ruh kebenaran, sudah pasti belia sekarang celik sejarah. Mana mungkin mereka lupa kerana sejarah yang mereka belajar bukan hanya untuk lulus periksa. Sejarah mereka mempunyai agenda. Agenda agama dan bangsa yang mesti diperjuangkan.

 

Jadi, apa peranan kita wahai belia muda? Sekali lagi soalan dilontarkan, apa peranan kita anak-anak muda?Agama dan bangsa menaruh harapan tinggi padamu untuk menjulang tinggi agenda risalah mulia. Ingat pesanku baik-baik wahai anak muda, luangkanlah masa mengkaji sejarah sebenar asal usul kita. Ianya bukan bermula dengan larinya Parameswara dari Sumatera dan bukan juga bermula dengan terbinanya kota Melaka. Sejarah sebenar kita bermula dengan terciptanya Nabi Adam a.s. Daripada susur galur zuriatnya, kita mengenal Nabi Muhammad SAW. Kemudian, beralih kepada zaman Khilafah Islamiyah yang agung diterukan dengan zaman kegemilangan Empayar Abbasiyah yang tersohor dengan ketamadunan ilmu yang tinggi. Jatuhnya Empayar Uthmaniyah bersama-sama kebangkitan Renaissance di Eropah melakar sejarah hitam buat kita. Eropah terus maju dipadukan dengan Revolusi Perindustrian yang menyebabkan Tanah Melayu jatuh dalam jajahan. Setelah itu, kita dibebaskan bak layang-layang di langit biru. Megah di awan tinggi tetapi sayangnya tali penjajah masih terjerut di kaki. Paling memilukan, sandiwara itu masih berjalan pada zaman yang serba canggih dan moden ini.

 

Sekali lagi ditegaskan, selusurilah susur-galur sejarah yang sebenar kerana bangsa yang kenal sejarah tidak sekali-kali akan berjaya diperkotak-katikkan. Wahai belia dan pemuda Islam, anak-anak singa telah lama dilemahkan menjadi kijang yang pengecut. Belia kita buta sejarah kerana tidak berpeluang mengenal sejarah yang hakiki. Kejutlah gergasi yang sedang lena tidur dalam dirimu nescaya engkau akan berdiri sebagai seorang belia yang utuh memperjuangkan agenda agung kiriman Rabbmu. Siapa lagi yang boleh diharapkan untuk menyambungkan mata-mata rantai risalah suci ini agar tidak putus melainkan belia-belia budiman yang semakin pupus.

 

Seminar “Antara Semalam  dan Hari Ini” anjuran PEMBINA amat bernilai untuk para belia mengenal sejarah sebenar identiti diri. Saranan ini diajukan berdasarkan pengamatan dan pengalaman sendiri kerana langkah pertamaku bermula dari sini.

 

-Norinsafrina bt. Mustaffa Kamal-

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: