Malaysia dan Indonesia, Satu Rumpun, Seibu Sebapa

Sesungguhnya, Malaysia dan Indonesia hanyalah dipisahkan oleh sebuah garisan psikologi, yang telah dirancang oleh kuasa imperialis masa lalu dangan penuh teliti. Asia, khususnya rantau ini pernah diramal bakal menjadi pusat peradaban Islam masa depan melalui kata-kata Malik Bennabi, seorang pemikir Islam Algeria yang terkenal.

Katanya: “dunia Islam [akan] beralih dan tunduk pada tarikan gravitasi Jakarta, sebagaimana ia pernah tunduk pada tarikan gravitasi Kairo dan Damascus.”

binabi2

Malik Bennabi, seorang tokoh intelektual Algeria yang terkenal.

Ini seterusnya meletakkan satu ‘expectation’ yang amat tinggi kepada rantau ini, sekaligus mengiktiraf rantau ini sebagai sebuah pusat umat Islam yang paling berpotensi dalam mengembalikan kebangkitan Islam.

Apabila kita mengkaji hubungkait antara Malaysia dan Indonesia, maka kita pasti akan menemui terlampau banyak perkaitanan dari pelbagai aspek. Dalam skop hubungan berkaitan ilmu agama dan proses pengislahan umat, Professor Dr. HAMKA dan Pak Musaddat merupakan dua orang tokoh yang amat banyak sekali mewujudkan hubungan antara kedua-dua negara ini. Dikatakan bahawa allahyarham Professor Dr. Hamka dan pak Musaddat kerap kali berulang-alik ke Malaysia dan Indonesia dalam melancarkan usaha dakwah membawa manusia ke jalan Allah. Bukan sehari dua, kadang-kadang seminggu, sebulan keberadaan mereka di Malaysia dimanfaatkan sehabis baik.

hamka1

Prof. Dr. HAMKA

Untuk pengetahuan para ikhwah, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mempunyai hubungan yang cukup rapat dengan seorang dai’e dari Indonesia, Pak Natsir. Pengarahan ‘terkenal’ beliau iaitu “pindahkan darah” menyaksikan tokoh-tokoh terkenal seperti allahyarham ustaz Fadhil Noor, tuan guru dato’ haji Abdul hadi Awang, Datuk Nakhaie dan lain-lain daripada ABIM beramai-ramai menyertai Parti Islam Semelaysia (PAS). Peranan tokoh dari Indonesia ini dilihat amat penting dalam mencorakkan keadaan politik Malaysia masa kini.

Selain itu, kemerdekaan Malaysia dan Indonesia bersama pernah diketengahkan di dalam sebuah pertemuan dan persetujuan antara tokoh-tokoh Indonesia seperti Soekarno dan Mohd Hatta dengan Dr Burhanuddin Al-Helmy dan Pak Sako. Persetujuan dan pertemuan yang telah diadakan di Taiping, Perak itu ternyata tidak Berjaya sebaik sahaja Jepun menyerah kalah di Indonesia lalu Soekarno mengisytiharkan Indonesia merdeka dari Belanda pada 17 Ogos 1945. Dr Burhanuddin Al-Helmy tidak dapat berbuat demikian memandangkan keadaan semasa yang berbeza di Malaysia ketika itu.

Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Malaysia(ISTAC) yang ditubuhkan di Malaysia bahkan telah melahirkan INSIS yang memainkan peranan penting menangkis segala ideologi dan cita-cita puak-puak Islam liberal di Indonesia. Hal ini jelas menunjukkan perlu-memerlunya kedua-dua buah negara ini.

Kesimpulannya, Indonesia dan Malaysia hanya dipisahkan oleh cita-cita dan niat jahat kuasa imperialis dunia, yang sentiasa menjadikan ‘divide and conquer’ sebagai agenda nombor satu mereka. Justeru, kita harus bersama-sama berusaha merapatkan jurang pemisah yang tersisa, agar rantau ini bangkit sebagai pembela agama Islam suatu hari nanti InsyaAllah. Wallahua’lam.

%d bloggers like this: