Maulid Rasul: Kelahiran Rasulullah Sebagai Pembawa Rahmat kepada Alam seluruhnya.

Sidang Pembaca yang dimuliakan Allah, Beberapa hari ini lagi kita akan menyambut hari kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W. Baginda adalah merupakan Rasul yang terakhir yang diutuskan oleh Allah kepada seluruh umat manusia, setiap tempat dan masa bahkan untuk kerahmatan alam seluruhnya.

rumah-rasulullah-saw

*Rumah Rasulullah S.A.W yang mulia… (sehingga kini, bekas tapak sujud baginda ketika saat kelahirannya masih berbau harum, di dalam rumah tersebut yang kini dijadikan perpustakaan…


Sekiranya kita mengkaji Seerah Nabi Muhammad S.A.W pastinya kita akan mendapati Allah Subhanahu Wataala sentiasa bersama baginda. Allah telah membimbing, memelihara, membantu dan membentuk kehidupan baginda sejak dari kecil hinggalah kewafatannya.

Bahkannya sebagaimana maklum pada tahun kelahiran Nabi Muhammad S.A.W berlaku peristiwa besar di Mekah iaitu Tentera Abrahah yang gagah perkasa cuba untuk menghancurkan rumah Allah iaitu Kaabah tetapi usaha digagalkan oleh Ilahi. Begitulah besarnya keagungan Ilahi walaupun penduduk Mekah telah pun keluar meninggalkan kota Mekah dan membiarkannya untuk dihancurkan oleh Abrahah namun tentera Allah yang terdiri daripada burung ababil telah Berjaya menghancurkan tentera bergajah tersebut.

Diantara pengajaran penting dari peristiwa ini ialah bumi Mekah tanah suci yang mulia yang pasti dipelihara Allah walaupun manusia telah membiarkannya untuk dihancurkan. Begitu juga ia merupakan isyarat Ilahi akan berlaku peristiwa besar di kota suci tersebut iaitu kelahiran nabi akhir zaman yang bakal membawa rahmat kepada manusia dan alam seluruhnya iaitu Nabi Muhammad S.A.W.

Perutusan baginda sebagai Rasul telah mengeluarkan manusia dari kegelapan syirik kepada cahaya keimanan. Lihat sahaja generasi yang dididik oleh Rasulullah, kebanyakan daripada mereka asalnya adalah penyembah berhala dan pengikut ajaran nenek moyang yang cukup fanatik tetapi dengan izin Allah hasil kebijaksanaan dan usaha bersungguh-sungguh rasulullah, baginda berjaya mendidik mereka menjadi golongan yang beriman bahkan diiktiraf oleh Al-Quran Sebagai sebaik-baik ummat (Khaira Ummah).

Oleh itu marilah sama-sama kita mengkaji semula seerah kehidupan baginda yang sarat dengan panduan dan pedoman. Apatah lagi kita generasi yang mengaku sebagai Daie Ilallah selayaknyalah kita mengkaji setiap detik dari kehidupan baginda dan mengambil pengajaran darinya. Sesungguhnya Seerah Rasul adalah antara bekalan dan panduan penting untuk umat ini memahami Islam yang sebenar bahkan ia juga membantu kita untuk memahami Al-quran dan Hadith Nabi itu sendiri.

Perutusan baginda adalah merupakan rahmat kepada kanak-kanak, remaja, belia, golongan dewasa lelaki mahupun perempuan. Setiap lapisan generasi manusia ini mempunyai kedudukan yang istimewa di sisi baginda. Bahkan Alam dan segala isinya sentiasa berselawat mendoakan kesejahteraan baginda kerana akhlak dan tingkahlaku mulia junjungan besar ini. Akhirnya marilah sama-sama kita menjadikan Rasulullah sebagai kekasih kita mudah-mudahan Allah melayakkan kita mendapat Syafaatnya di Padang Mahsyar Kelak.

Ustaz Shaharuzzaman Bin Bistamam

Ketua Biro Dakwah ISMA Cawangan Ipoh.

%d bloggers like this: